malam itu, malam yang sejuk. ingin saja bersembunyi di balik selimut. mengerekot macam kerengga yang bertungkus lumus mengalahkan saudara sespeseisnya dalam arena perebutan daun yang masak ranum. hujan kucing dan anjing di luar sana. titis titisnya mampu membuat seseorang atau semua orang mengeluh akibat kekuyupan yang melampau, dan memaksa mereka ke bilik mandi untuk membersihkan diri daripada air hujan yang melekat di badan. air hujan zaman sekarang bukan boleh percaya. silap silap kau boleh jumpa kaki lipas dalam air hujan tu.
telefon genggam ada di tanganan gua. eh silap, telefon tangan ada di genggaman gua. tapi gua tak rasa nak call sesiapa. gua bukan kedekut kredit. gua cuma rasa nombor nombor yang ada tersimpan di dalam buku telefon automatik tu tak ada satu pun yang membuatkan hati gua bergejolak nak hubungi. dan sila jangan mengarahkan soalan anda kepada "eh takkan dengan yang tu pun lu tak nak hubungi. atau sekadar bertanya khabar?" sebab jawapan gua akan berbunyi begini "lu tak faham bahasa ke?nak gua tumbuk sekali dulu kot?"
mungkin gua tak rasa ada keinginan malam ini untuk bercinta dengan sesiapa manusia, hatta bersosial sekalipun. kalau orang lain mungkin malam begini yang ditemani angin sesejuk sesepoi bahasa melayu tinggi, adalah masa yang sesuai untuk meluahkan kata kata cinta, ataupun bertanya sama ada si dia dah makan ke belum dengan penuh perasaan cinta. aneh, nak tanya sudah bersantap atau belum pun hati penuh berbunga bunga sama macam soalan "adakah awak cintakan saya sepenuh hati awak" sebab tak ada kesinoniman antara soalan makan dan soalan cinta. itu sejauh mana yang gua tahu lah.
maka daripada gua melayan mood-mood cinta kepada manusia ini, lebih baik gua layan satu lagi aspek yang gua dah sebut sebelum ini. makan. dan gua nak menerbitkan rasa cinta makan. makan semasa hujan adalah suatu perkara yang hebat. dan anda akan merasakan hati penuh debunga sebagaimana orang yang bercinta. rasa nikmat dan khayal seperti di kayangan gamaknya. jadi gua pun bergegas untuk mendapatkan "cinta" tersebut.
gua masak air. gua selongkar almari. dalam masa tujuh minit terhidang di depan gua segelas milo panas dan semangkuk besar cintan perasa kari.
gua hirup milo, gua srrrupppppp cintan. serta merta gua terbayang ketika gua berusia tiga tahun. gua datang ke tempat ayah gua selalu melampiaskan masa lapang bersama rakan rakannya. ayah gua memang digelar putera mahjong dulu. gua haram sepatah tak faham permainan tahi apakah itu. yang gua tahu, ada banyak batu putih bentuk petak yang pelbagai coraknya, lepas itu semua pemain akan menggerak-gerakkan batuan tersebut dan menghasilkan bunyi yang merdu. oleh sebab gua tak faham, gua akan merengek sebab gua tak tahu apa nak buat. nanti akan datang satu ah so yang comel membawakan gua cintan perasa kari dalam mangkuk bercorak naga beserta kayu penyepit. gua yang masih mentah ketika itu terus makan tanpa usul periksa dan menggemarinya. sejak itu, setakat maggi ni, gua pandang sebelah mata sahaja.
wah, seronoknya mengimbau kenangan di kala hujan. nampaknya bukan orang orang bercinta sahaja yang khayal dek lamunan sekarang. gua pun macam dah terkena sama. gua sedar hidup ini bukan sekadar gembira dek cinta. banyak lagi perkara yang kadang kadang kita rasa sangat mudah boleh membawa gembira. gua beuntung sebab gua macam ada unsur unsur kesedaran sedikit mengenai itu.
sekarang gua dah kenyang. gua terpikir lu orang yang sibuk bercinta ni, ada ke imbauan mengenai mee segera?
dan macam biasa mata gua mengerling ke atas toolbar.
gua nampak perkataan "Usaha Peristilahan".
gua pun buat monolog "sial la. minggu ni dah la minggu sembilan. shit."



